Sejarah Bukit Dinding

1870: Antara Lokasi Perang Klang (1867-1874)

Kawasan sekitar Bukit Dinding, termasuk Gonggang (kemudiannya Ladang Gonggang dan Hawthornden) di sebelah barat, dan lembah Sungai Gisir di sebelah utara, menjadi antara lokasi Perang Kelang / Perang Saudara Selangor di antara kumpulan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy (menyebelahi Raja Abdullah) dengan kumpulan Syed Mashhor dan Chong Chong (menyebelahi Raja Mahadi). Di dalam salah satu babak pertempuran tersebut, pasukan Syed Mashhor telah menyerang pasukan Yap Ah Loy (diketuai Hiu Fatt and Tung Khoon) di Ulu Klang dari Ampang, manakala pasukan Chong Chong mara dari sebelah barat Bukit Dinding (yang kemudiannya menjadi Ladang Gonggang dan Hawthornden), lalu mengepung pihak lawan dari belakang, kemungkinan dari lembah Sungai Gisir di sebelah utara Bukit Dinding. Namun pasukan Yap Ah Loy yang lain (diketuai Chung Piang) sempat sampai ke lokasi kepungan dan setelah pertempuran yang panjang, berjaya mematahkan serangan lalu memaksa pasukan Chong Chong berundur kembali ke Ampang.[10]

1883: Kawasan Perlombongan Gonggang

Sekitar tahun 1883, kawasan barat daya Bukit Dinding yang dikenali sebagai "Gonggang" (sekitar Jalan Jelatek - Kampung Datuk Keramat - Setiawangsa kini) adalah antara pusat perlombongan bijih timah. Kawasan tersebut berkembang sehingga ke hulu Sungai Bunus di sebelah barat laut Bukit Dinding, iaitu di sekitar Wangsa Maju kini. Keadaan ini telah direkodkan di dalam sepucuk surat bertarikh 24 September 1883, daripada juruukur M'Carthy kepada H.F.Bellamy, ketika beliau mencadangkan pembinaan jalan baru bagi menghubungkan kedua-dua lokasi tersebut.[11] Sementara itu, ladang-ladang kopi mula dibuka secara besar-besaran di sekitarnya, sejak 1880-an.[12] Namun sehingga awal kurun ke-20, kawasan Gonggang ini, juga sepanjang lembangan Sungai Klang di sebelah selatan dan timur Bukit Dinding, masih menjadi pusat perlombongan bijih timah.[13]

1888 (Oktober): Pembukaan Ladang Hawthornden

Pada Oktober 1888, Ladang "Ulu Gonggang" di Batu 5 Jalan Pahang Kuala Lumpur (di penghujung sebelah utara pusat perlombongan Gonggang) telah dibuka oleh J. A. Toynbee, bekas pengurus ladang Weld's Hill kepunyaan syarikat Messrs. Hill and Rathborne.[14] Kemungkinan ladang Ulu Gonggang ini berkembang ke Batu 6 Jalan Pahang, dan dinamakan sebagai Ladang Hawthornden. Ladang ini kemudiannya berkembang ke timur/tenggara sehingga merangkumi sebahagian besar kawasan Bukit Dinding.[15]

1965 (September): Ladang Hawthornden Mulai Dimajukan

Pada 3 September 1965, kerajaan persekutuan telah mengumumkan perancangan sebuah perbandaran baru di Ladang Wardieburn, termasuk sebahagian kecil Ladang Hawthornden: "Ladang Wardeiburn di-Jalan Ulu Klang menjadi sa-buah 'Bandar Baru' yang paling moden sa-kali di-Ibukota ini manakala Kerajaan membena kira2 200 penchakar langit 17 tingkat yang mengandongi 42,000 rumah pangsa mulai awal tahun hadapan. ... Projek tersebut yang dibahagikan kepada 11 kawasan berasingan akan meliputi seluroh kawasan ladang itu sa-luas 828 ekar termasuk sa-bahagian kechil dari kawasan Ladang Hawthornden."[16] Kemungkinan kawasan tersebut di sekitar Taman Bunga Raya kini. Ini adalah antara pembangunan terawal yang melibatkan Ladang Hawthornden, yang kemudiannya berkembang ke timur/tenggara, ke arah Bukit Dinding.

1983 (9 Disember): Bandar Baru Ladang Hawthornden

Pada 9 Disember 1983, Pelan Induk bagi kawasan ini, dikenali sebagai Projek Pusat Pertumbuhan Bandar Baru Ladang Hawthornden, telah diluluskan. Sejak itu, kawasan Wangsa Maju dibangunkan, seksyen demi seksyen, iaitu Seksyen 1 (apartmen kos rendah), Seksyen 2 hingga 4 (apartmen kos sederhana), dan Seksyen 5 (rumah teres, apartmen dan kondominium). Di dalam pelan tersebut, sebahagian daripada Bukit Dinding (ditandakan sebagai "R-12") telah pun diwartakan sebagai "Tapak Kediaman", namun tidak dibangunkan, dan masih kekal sebagai kawasan hutan sehingga kini.[17]

Bandar Baru Ladang Hawthornden telah dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad, pada 26 Februari 1984.[18]

1983-1995: Ladang Gonggang Menjadi Setiawangsa

Sepanjang tahun 1983-1995, Ladang Gonggang Estate, termasuk kawasan kaki dan lereng sebelah barat daya Bukit Dinding, mula dibangunkan oleh syarikat Island & Peninsular (I&P) Group Sdn Bhd, yang telah mengambil alih ladang itu sejak 21 September 1981 lagi.[19] Sekitar Mei 1983, cadangan pelan pembinaan 6,000 unit perumahan, 150 unit kedai, dan sebuah pusat membeli-belah di situ telah diluluskan, dan mula dibina sekitar akhir tahun 1983.[20] Kawasan tersebut kemudiannya dikenali sebagai "Taman Setiawangsa". Peringkat terakhir pembangunan ini ialah Puncak Setiawangsa, dan disiapkan pada tahun 1995.[21]

Rujukan

WikiPedia: Bukit Dinding http://www.agsmtb.com/2018/02/26/bukit-dinding-rac... http://www.sabrizain.org/malaya/library/documents/... https://earth.google.com/web/search/bukit+dinding/... https://www.instagram.com/p/B7GulIuAX2T/ https://www.instagram.com/p/BuZ32UolMcc/ https://www.malaysiakini.com/news/636952 https://www.theedgemarkets.com/article/cover-story... https://theveritasdesigngroup.com/resources/ https://theveritasdesigngroup.com/wp-content/uploa... https://collections.library.yale.edu/catalog/15827...